Dipegang jubah suaminya. Matanya yang jernih merenung sayu.“Apakah ini kerana Allah?” tanya hampir berbisik.
“Ya, wahai isteri ku. Semua ini kerana Allah,” jawab suaminya lalu segera berlalu. Tanpa toleh, tanpa berpaling.
“Ya, wahai isteri ku. Semua ini kerana Allah,” jawab suaminya lalu segera berlalu. Tanpa toleh, tanpa berpaling.
Mendengar jawapan itu Siti Hajar tidak berkata apa-apa
lagi. Mata dan hatinya menghantar suaminya Ibrahim AS berlalu pergi.
Tega dan redha. Kalau suami ku bertindak meninggalkan aku kerana Allah,
aku mesti rela ditinggalkan juga kerana Allah, mungkin itulah rasa hati
Siti Hajar sewaktu ditinggalkan Ibrahim.
Itulah sedikit gambaran perpisahan kerana Allah. Nabi
Ibrahim AS rela meninggalkan isteri dan anaknya Ismail di bumi yang
kering kontang. Satu lembah yang gersang jauh daripada manusia, haiwan
dan tumbuhan. Ya, itu semua perintah Allah. Demi cinta khalik yang lebih
tinggi dan suci, ditinggalkannya cinta terhadap anak dan isterinya.
Itulah hati Nabi Ibrahim. Jika dulu dia diuji dengan bakaran api, kini
dia diuji lagi oleh perpisahan dengan anak dan isteri.
Jangan disangka hanya Siti Hajar sahaja yang menderita
ditinggalkan, tetapi bayangkanlah juga derita suaminya Nabi Ibrahim
yang “meninggalkan”. Kekadang orang yang meninggalkan lebih perit dan
sakit penanggungannya daripada orang yang ditinggalkan. Namun apakah
pilihan Ibrahim, bila cinta Allah berbicara, cinta yang lain akan
membisu seribu bahasa…
Mengapa hanya kata-kata “apakah semua ini kerana
Allah?” yang diminta kepastian oleh Siti Hajar terhadap suaminya Nabi
Ibrahim? Mengapa tidak ada ucapan yang lain? Mengapa tidak diucapkan,
“kenapa sampai hati kau buat begini?” Tidak, ucapan seumpama itu sama
sekali tidak terkeluar daripada mulut isteri solehah seperti Siti Hajar.
Apa yang hendak dipastikannya hanyalah satu… semua itu dibuat oleh
suaminya kerana Allah. Bila kerana Allah, tenanglah hati Siti Hajar…
Tuhan pasti tidak akan mengecewakannya. Suaminya tidak akan
menganiayanya.
Bertemu kerana Allah, berpisah pun kerana Allah.
Itulah tradisi dalam cinta para solihin dan muqarrabin. Dan iktibar buat
kita, untuk mengekalkan cinta dalam rumah tangga inilah juga teras dan
asasnya. Jangan ada “kerana” yang lain. Jika ada yang lain, pasti cinta
itu tergugat jua walaupun bagaimana teguh sekali pun janji dan peneguhan
kata yang pernah dimeterai. Untuk mengekalkan cinta, ini sahaja
prinsipnya – berbuatlah apa sahaja kerana Allah. Lurus, tulus dan telus
tanpa belok dan bengkok.
Sekalipun terpisah, namun cinta Nabi Ibrahim dan Siti
Hajar tidak pernah luntur. justeru kedua-dua berpegang kepada asas cinta
yang kekal… cintakan Allah. Dan bila mereka bertemu kembali, beberapa
tahun kemudiannya, cinta itu teruji lagi. Kali ini Nabi Ibrahim
diperintahkan pula oleh Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail.
Nabi Ibrahim tekad, Ismail mesti dikorbankan. Tetapi bagaimana Siti
Hajar?
Siti Hajar teruji lagi. Nilai anak bagi seorang ibu,
kekadang melebihi nilai suami kepada seorang isteri. Ikatan hati antara
ibu dan anak jauh lebih teguh dan kukuh daripada ikatan suami dan
isteri… begitu kekadang pakar-pakar psikologi mengungkapkan. Namun itu
sedikit pun tidak menjejaskan jiwa Siti Hajar, sekali lagi “jika itu
kehendak Allah” dia pasrah. Allah tidak akan mengecewakannya. Siti Hajar
rela “kehilangan” anak dan suami berkali-kali. Seperti air zam-zam yang
menyuburkan lembah Makkah yang gersang maka begitulah iman yang
memperkasa jiwa Siti Hajar. Sekali lagi dia rela dan tega.
Ah, agungnya sejarah itu. Namun di mana asas kekekalan
cinta itu masa kini? Kadar perceraian melonjak semakin tinggi. Janji
hidup bersama, mati berdua hanya jadi mainan kata sewaktu bercinta.
Tetapi sebaik musim bulan madu berlalu, cinta semakin hari semakin
terhakis. Dan akhirnya usahkan untuk mati bersama, hidup berdua pun
sudah tidak mampu lagi. Suami jemu dengan kerenah isteri. Isteri bosan
dengan tingkah laku suami… tak berubah-rubah, macam-macam tu juga.
Akhirnya, perceraian pun tidak dapat dielakkan lagi.
Mengapa ini berlaku? Jawabnya, kerana dalam hati suami
dan isteri itu tidak ada lagi prinsip “kerana Allah”. Rasa syak
wasangka, marah melulu, kecewa, jemu, jeran dan terancam mula bersarang
dalam jiwa apabila “bukan kerana Allah” menjadi begitu dominan dalam
sanubari suami dan isteri masa kini. Semakin lama berumah tangga semakin
ketara segala kelemahan dan kesalahan.
Pada mulanya dicuba-cuba juga bersabar. Ah, demi cinta
ku pada nya, begitu pujuk-pujuk hati. Hari demi hari, bulan demi bulan,
tahun demi tahun, segala-galanya masih “gitu-gitu” juga. Bila suami
sampai di muka pintu (pulang daripada bekerja), muka isteri mencuka,
keluhan atau leteran pun bermula, tidak ada lagi salam berkucup tangan,
tidak ada lagi wangian dan haruman, tidak ada jawapan salam yang sopan…
Dulu pernah suami menegur bersulam kata dengan kiasan
dan perlambangan. Namun isteri buat tidak tahu kerana di hatinya juga
ada “dendam”. Ah, kau sahaja yang ingin aku berubah, kau pula bagaimana?
Aku jemu melihat kau umpama raja dalam rumah tangga yang menyuruh aku
membuat segala-galanya. Sejak bangun tidur aku bagaikan hamba sahaya
yang asyik membersihkan, memasak, mengasuh, mengemas dan seribu satu
kerja lagi, gerutu hati isteri.
Kau tidak pernah berubah wahai suami. Pakaian
bersepah. Tingkah laku mu jauh daripada yang ku kenal dahulu. Pantang
ditegur, ego mu meledak. Kau semakin bungkam dan bisu ketika aku ingin
meluahkan dan menceritakan segala-galanya. Dan perlukah aku meluahkannya
lagi, setelah berkali-kali kau seakan tuli untuk mendengarnya!
Jiwa yang kecil akan membesarkan masalah yang remeh
apatah lagi masalah yang memang besar. Bila di hati tidak ada lagi
“kerana Allah”, rumah tangga akan semakin goyah. Di dalam hati sudah
timbul bibit-bibit ingin berpisah… Berpisah secara rasmi dengan jatuhnya
talak bersendikan syarak atau berpisah secara sepi, dengan putusnya
ikatan cinta tanpa kemesraan dan keharmonian hati.
Jasad rapat, tetapi hati kian jauh terpisah.
Sesetengah pasangan nekad terus mengambil keputusan untuk berpisah. Jika
begini apa gunanya ditunggu lagi, kita bercerai! Dan sesetengah
pasangan pula tetap di situ mempertahankan cinta yang bagaikan hidup
segan mati tak mahu – “better bend than break” (biar sekah asalkan tak
patah). Golongan ini sabar mengharungi perkahwinan yang tidak bahagia.
Mereka yang memilih bercerai, inginkan bahagia di tempat, di suasana atau dengan keadaan yang lain (dan mungkin juga dengan orang yang lain?). Tidak ada gunanya mempertahankan perkahwinan yang tidak bahagia… cari sahaja bahagia di tempat yang lain. Mereka yang bertahan pula mungkin merasakan, jika pasangan ku ini pun tidak memberikan aku bahagia, sedangkan aku yang mencari dan dicarinya dulu, mana ada jaminan aku bahagia dengan orang atau di tempat yang lain? Biarlah, aku bertahan sahaja…
Mereka yang memilih bercerai, inginkan bahagia di tempat, di suasana atau dengan keadaan yang lain (dan mungkin juga dengan orang yang lain?). Tidak ada gunanya mempertahankan perkahwinan yang tidak bahagia… cari sahaja bahagia di tempat yang lain. Mereka yang bertahan pula mungkin merasakan, jika pasangan ku ini pun tidak memberikan aku bahagia, sedangkan aku yang mencari dan dicarinya dulu, mana ada jaminan aku bahagia dengan orang atau di tempat yang lain? Biarlah, aku bertahan sahaja…
Siapa antara kedua golongan ini yang lebih bernasib
baik? Yang bercerai untuk mencari bahagia atau yang bersabar dengan
perkahwinan yang tidak bahagia? Subhanallah, hasil kajian menunjukkan
setelah bertahun-tahun berlalu mereka yang bersabar degan perkahwinan
yang tidak bahagia akhirnya lebih bahagia daripada mereka yang mengambil
keputusan untuk bercerai!
Itulah berkat sabar. Kerana kesabaran itu lebih dekat
dengan iman. Bukankah kesabaran itu separuh daripada iman. Dan dalam
iman itulah tersemat roh kalimah “kerana Allah”. Sesungguhnya, Allah
bersama dengan orang yang sabar. Bukankah dalam hidup ini, mereka yang
berjaya mengharunginya bukan orang yang bijak, cantik dan ternama…
tetapi oleh orang yang sabar.
Justeru, walau seteruk mana kerenah pasangan kita,
belajarlah menerima dia seadanya. Bersabarlah dengan sikapnya kerana dia
pun hakikatnya sedang belajar bersabar dengan kerenah kita. Jangan
marah jika dia tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki kerana
kita juga hakikatnya tidak berubah mengikut apa yang kita sendiri
kehendaki.
Kita tidaklah setabah Siti Hajar dan pasangan kita pun
tidak sebaik Ibrahim… namun setidak-tidaknya kita mengakui dan sentiasa
mencuba untuk bersabar dengan peneguhan kata “kerana Allah”. Ingatlah,
ragam, karenah dan tabiat pasangan kita bukan semuanya untuk
diselesaikan. Seperti juga masalah-masalah hidup yang lain ada yang
dapat diselesaikan dan ada yang tidak.
Bagaimana menghadapi masalah yang tidak dapat
diselesaikan? Ya, ada masalah yang kita “kena hidup dengannya.”
Selama-lamanya. Ia memang tidak dapat dan tidak perlu diselesaikan…
Mengapa? Allah takdirkan begitu sebagai saluran kita merintih, merayu
dan bergantung kepada-Nya.
Oh,
rupa-rupanya Allah pasangkan kita dengan pasangan kita untuk kita
saling merintih kepada Allah dalam menghadapi kerenah masing-masing.
Allah menguji kita melalui dia, Allah menguji dia melalui kita. Inilah
yang kita belajar daripada cinta dan sabar dalam rumah tangga Nabi
Ibrahim dan isterinya Siti Hajar. Sesungguhnya, cinta mereka itu bukan
cinta biasa!
No comments:
Post a Comment