WELCOME TO MY BLOG

Sunday 12 February 2017

Health and Wellness MPU3313 / Kesihatan dan Kesejahteraan / September 2016

assignment semester satu.. yang ni dapat rendah je... 43 / 50% je... huhuhu
1.0) TANGGUNGJAWAB PERIBADI INDIVIDU UNTUK MENCAPAI DAN MENGEKALKAN KESIHATAN DAN KESEJAHTERAAN


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan laporan sedunia terhadap penyakit tidak berjangkit 2014 menunjukkan kebarangkalian kematian rakyat malaysia yang berpunca daripada penyakit-penyakit kronik adalah tinggi hampir dua kali ganda berbanding negara Singapura iaitu sebanyak 19.6% sekaligus merupakan jumlah antara tertinggi di rantau asia tenggara. Laporan ini menunjukkan tahap penduduk rakyat Malaysia berada di paras yang membimbangkan. Rakyat Malaysia disenaraikan  peratusan tertinggi menghidap penyakit kencing manis dan obesiti serta merangkul juara sebagai penduduk paling gemuk di asia tenggara. Perkara ini dikesan kerana faktor pemakanan dan kekurangan melakukan aktiviti yang berbentuk fizikal di kalangan penduduk.


Terdapat tiga jenis tanggungjawab peribadi yang dilakukan untuk mencapai dan mengekalkan kesihatan yang baik iaitu tanggungjawab terhadap tindakan , prihatin terhadap orang lain , dan kesedaran tentang kesihatan.


Elemen pertama berkaitan tentang tanggungjawab peribadi kepada tindakan. Ia  terbahagi kepada dua iaitu faktor risiko yang boleh diubah suai seperti individu mampu mengurangkan atau mengelak daripada risiko buruk. Contohnya menahan diri daripada menghisap merokok atau pengambilan alkohol. Manakala faktor risiko yang tidak boleh diubah suai seperti di luar kawalan indvidu ialah disebabkan faktor umur atau pelbagai faktor yang lain. Cara hidup menunjukkan sikap kebiasaan seseorang dalam mencorakkan kehidupan. Sikap kebiasaan dirujuk sebagai perbuatan harian yang ditentukan oleh individu dan ia mempengaruhi kepada status kesihatan dan kesejahteraan diri. Setiap individu diberi pilihan untuk tidak merokok , mengambil makanan yang berkhasiat dan melakukan aktiviti fizikal atau sebaliknya. Perubahan gaya hidup yang sihat dapat membendung daripada menghidapi pelbagai penyakit. Individu atau masyarakat seharusnya mengamalkan aktiviti fizikal , pengambilan makanan yang mengandungi diet seimbang, mengurangkan makan makanan yang mengandungi lemak tepu serta garam, dan tidak merokok. Aktiviti fizikal memberi kesan yang bermanfaat kepada setiap individu khususnya senaman aerobik , berbasikal , mendaki gunung dan lain-lain lagi.

Elemen seterusnya adalah prihatin terhadap orang lain. Masyarakat berperanan dalam mempengaruhi setiap individu untuk mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan. Pendekatan melalui mencerminkan sikap yang positif atau perbualan berkaitan kepentingan kesihatan memberi impak kepada masyarakat sekeliling atau individu. Memberi pendedahan kepada orang lain tentang kepentingan menjaga kesihatan terutamanya kepada ahli keluarga dengan menarik minat melakukan aktiviti riadah seperti berenang dan aktiviti-akviti fizikal yang lain. Selain itu , merancang melakukan aktiviti lasak bersama keluarga atau rakan-rakan seperti berkayak , mendaki bukit turut mempengaruhi mereka dalam memupuk kesedaran tentang kesihatan dan kesejahteraan hidup.

Elemen terakhir ialah kesedaran kesihatan. Individu perlu membuat pemeriksaan perubatan  dan saringan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya setahun sekali. Kesedaran dapat dipupuk dengan menambahkan ilmu pengetahun tentang kepentingan kesihatan dan kesejahteraan melalui pembacaan dan sering berjumpa dengan pakar perunding kesihatan untuk program kecergasan diri. Selain itu individu perlu merancang program kecergasan mengikut kesesuian tahap kesihatan masing-masing . Disamping itu, setiap individu perlu mengamalkan senaman rutin harian , mengambil pemakanan yang seimbang , dan mendapatkan laporan kesihatan terkini untuk mengetahui tahap kesihatan individu demi menjalani kehidupan yang lebih bermakna.


Kesimpulannya , ketiga-tiga tanggungjawab peribadi amat penting kepada individu dalam mengekalkan kesihatan yang baik untuk mengurangkan risiko mengidap penyakit-penyakit kronik. Malah, melakukan aktiviti fizikal dapat menyumbang kepada tahap kecergasan diri dengan lebih baik , mendidik individu mendisiplinkan diri , serta mampu mengawal dan mengurangkan tekanan hidup dalam menjalani kehidupan seharian.

2.0) EMPAT DIMENSI KESIHATAN . PILIH SALAH SATU DAN TERANGKAN SECARA RINGKAS BERDASARKAN CIRI-CIRI , AKTIVITI , KEPERCAYAAN , DAN SIKAP YANG MENCERMINKAN KEHIDUPAN
Dimensi fizikal. Kecergasan fizikal , senaman yang konsisten , pengambilan diet yang seimbang antara faktor yang menyumbang kepada kesihatan fizikal seseorang. Antara kepentingan melakukan aktiviti fizikal ialah dapat meningkatkan kecekapan sistem kardiovaskular iaitu kecergasan jantung , paru-paru,dan sistem peredaran darah. Dengan melakukan aktiviti fizikal secara berkala dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular , jantung , dan paru-paru. Jantung berperanan menghantar darah ke tisu-tisu aktif ketika melakukan aktivit fizikal seperti membawa oksigen dan pelbagai makanan serta membuat pemindahan bahan-bahan kumuh metabolisme. Aktiviti fizikal memberi kesan yang efektif terhadap sistem kardiovaskular kerana ia mampu menguatkan otot jantung , mengawal tekanan darah tinggi , meningkatkan peredaran darah  , fungsi paru-paru , dan penggunaan oksigen. Selain itu , amalan aktiviti fizikal membantu menguatkan tulang dan mengurangkan risiko menghidap osteoporosis. Individu yang sentiasa melakukan kegiatan fizikal dapat menguatkan otot dan tulang yang kuat supaya dapat mengelakan menghadapi risiko masalah reput tulang(osteoporosis). Aktiviti ini memberi kesan jangka masa yang panjang. Contohnya sentiasa berasa cergas walaupun berada di peringkat umur warga emas dan mampu bergerak tanpa batasan. Sebaliknya mereka yang mengalami kereputan tulang memberi kesan kepada pergerakkan yang terbatas dan mudah jatuh serta cepat menjadi bongkok. Aktiviti yang sihat dapat mencegah individu daripada obesiti melalui proses pembakaran lemak jahat (Low Density Lipoprotein) yang ada di dalam badan. Pembakaran lemak berlaku ketika melakukan aktiviti fizikal untuk menghasilkan sesuatu tenaga. Kekurangan lemak memberikan berat badan yang ideal dengan mengikut kesesuian ketinggian seseorang serta memiliki personaliti yang menarik.


Aktiviti fizikal dapat dilakukan dengan pelbagai cara. Di antaranya ialah aktiviti senaman aerobik yang menyumbang kepada kecergasan kardiovaskular. Jabatan Kesihatan Perkhidmatan Manusia mencadangkan golongan dewasa memerlukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti aerobik tahap sederhana atau 75 minit seminggu untuk tahap yang bertenaga. Selain itu , aktiviti mendaki tangga turut melindungi individu daripada mengalami tekanan darah tinggi , berat badan berlebihan , dan mengelakkan daripada arteri tersumbat. Menurut pendapat daripada Dr Harvey Simon , profesor perubatan di Harvard Medical School , antara rahsia terbaik yang di simpan di dalam perubatan pencegahan ialah aktiviti mendaki tangga. Menjadikan aktiviti ini sebagai rutin harian kerana ia tidak memerlukan kemahiran yang spesifik , tidak memerlukan kos yang tinggi, dan menjimatkan masa. Melakukan aktiviti berjalan cepat dapat dikategorikan sebagai langkah permulaan untuk gaya hidup yang sihat dan aktif. Aktiviti ini boleh dilakukan secara bersendirian atau dengan mengajak kawan dan keluarga serta mudah untuk dipraktikkan. Aktiviti fizikal yang diamalkan  dapat mengeratkan hubungan individu atau titik kemesraan di kalangan ahli keluarga seperti suami , isteri , anak-anak dan kenalan. Meluangkan masa bersama-sama melakukan aktiviti fizikal membuka ruang untuk mengenali antara satu sama lain. Meluangkan masa selama 30 hingga 40 minit pada setiap hari bersama keluarga dan kawan-kawan dengan melakukan aktiviti bersukan seperti bermain badminton , tenis dan lain-lain lagi. Mengamalkan amalan kehidupan yang sihat dapat membantu diri sendiri , keluarga , dan kawan-kawan demi menjamin kesihatan fizikal dan mental yang sejahtera.


Kesimpulannya, kekerapan melakukan aktiviti fizikal meningkatkan tahap kesihatan yang lebih baik dan memberi kesejahteraan dalam kehidupan. Kesannya kelihatan lebih bertenaga , mengurangkan tekanan , mendapat tidur yang berkualiti , dan membina ke arah perhubungan yang lebih mesra antara keluarga dan rakan-rakan.




3.0) KEPENTINGAN MEDIA SOSIAL DALAM MEMPERTINGKATKAN KESIHATAN SOSIAL DI KALANGAN DEWASA MUDA


Media sosial dirujuk kepada komponen yang berasaskan kepada web dengan menggunakan internet untuk berkomunikasi dan berkongsi maklumat secara pantas , mudah dan meluas. Antara laman media sosial yang terkenal masa kini ialah instagram , facebook , twitter , youtube dan lain-lain lagi. Terdapat jugak individu yang menerbitkan  idea-idea yang bermanfaat melalui blog. 


Penjagaan dan kepentingan meningkatkan tahap kesihatan turut disebarkan secara meluas melalui media sosial. Golongan dewasa muda dapat menggunakan platform media sosial ini untuk membincangkan isu-isu dasar penjagaan kesihatan, aktiviti yang menggalakkan peningkatan kesihatan dan memberi motivasi kepada setiap individu tentang kesihatan. Penggunaan media sosial memberi kemudahan seperti menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti-aktiviti kesihatan yang terbaru , pengetahuan terkini tentang status penyakit atau wabak serta penjagaan dan pencegahan pelbagai penyakit yang melanda di seluruh dunia. Klinik Mayo antara salah satu organisasi yang menggunakan platform media sosial dalam mempertingkatkan kesihatan sejagat. Klinik Mayo menggunakan youtube , facebook, dan blog sebagai medium penyampai dan pertanyaan tentang penjagaan dan peningkatan kesihatan. Media sosial juga berperanan memberi peluang kepada pengguna untuk mengemukakan soalan yang berkaitan dan memperolehi maklumat yang diperlukan. Ini secara langsung memudahkan pengguna untuk berinteraksi dengan pakar-pakar kesihatan untuk memperolehi maklumat secara pantas. Sebagai contoh, laman web interaktif twitter seperti hello health memberi pelbagai maklumat untuk mempertingkatkan kesihatan. Kesihatan sosial juga dapat dipertingkatkan dengan menggunakan platform media sosial seperti merangka aktiviti-aktiviti fizikal secara individu atau berkumpulan. Aktiviti yang di tonjolkan kepada umum dapat memberi kesan dan minat terhadap orang lain serta kesedaran tentang penjagaan kesihatan. Penyebaran senarai aktiviti-aktiviti di persekitaran juga boleh didapati melalui blog , twitter , facebook , dan instagram. Antara kempen melalui media sosial yang mendapat sambutan memberangsangkan ialah KL Marathon dan Pink Ribbon Run. Aktiviti larian ini mendapat sambutan menggalakan kerana penglibatan golongan dewasa muda dalam program ini dan pengaruh media sosial secara meluas. Selain daripada itu , program aktiviti fizikal dapat diperluaskan di kalangan dewasa muda dengan memupuk minat melalui idola. Idola merupakan individu yang mampu menarik minat pengikutnya dengan mengemas kini di laman sosial tentang aktiviti yang sedang atau bakal dilakukannya. Ini secara tidak langsung memupuk minat pengikutnya melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Penulisan tentang kesan-kesan dan langkah-langkah untuk mempertingkatkan kesihatan sosial di ruangan blog juga memberi impak kesedaran dan tanggungjawab kepada individu khususnya golongan dewasa muda. Ini kerana blog di sediakan dalam kapasiti yang besar dan mampu menerbitkan maklumat dalam pelbagai media seperti teks, video dan audio. Media sosial seperti laman youtube turut membantu golongan ini untuk mempertingkatkan tahap kesihatan sosial dengan menyiarkan pendidikan fizikal kepada pelbagai peringkat umur serta teknik-teknik melakukan latihan fizikal. 

Kesimpulannya , rangkaian media sosial amat penting untuk kegunaan setiap individu terutama isu-isu yang berkaitan kesihatan. Kempen-kempen kesihatan yang di jalankan di media sosial mampu mempengaruhi golongan dewasa muda untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Ia memberi kesan positif kepada pengguna dan menjimatkan masa serta mudah untuk dipraktikan di pelbagai tempat. Malah ia memberi kesedaran tentang pentingnya nilai kesihatan kepada manusia. Platform digital menggalakkan masyarakat mengamalkan kehidupan yang sihat , menyampaikan ilmu pengetahuan tentang kesihatan , dan mendorong golongan dewasa muda menjaga dan mempertingkatkan kesihatan dari peringkat awal untuk mengelakan daripada menghidap penyakit-penyakit kronik yang membawa kepada maut.



4.0) STRATEGI YANG BOLEH DI AMBIL OLEH INDIVIDU BAGI MENJADI KEKAL SIHAT DARI SEGI TUBUH BADAN , MINDA, DAN KEROHANIAN


Tubuh badan yang sihat ditafsirkan sebagai bebas daripada pelbagai penyakit dan sentiasa kelihatan bertenaga. Untuk mengekalkan tubuh badan sihat , individu perlu mengamalkan aktivit-akviti fizikal dan pengambilan makanan yang seimbang serta mengambil makanan tambahan. Pengambilan zat besi seperti daging merah , sayuran hijau memainkan peranan yang besar dalam merangsang tubuh badan yang sihat. Makanan seperti magnesium dan potassium yang terdiri daripada ikan , makanan laut , bijirin , pisang , epal , dan kentang menggalakkan otot berfungsi dengan baik. Manakala makanan yang mengandungi zat zink seperti makanan tenusu , daging serta kerang mampu melindungi badan daripada terjebak dari jangkitan virus dan menguatkan sistem imun badan. Justeru itu , diet yang seimbang mendorong individu untuk melakukan aktiviti fizikal dan mengekal tubuh badan yang bertenaga.
Peringkat kehidupan bermula dari peringkat kanak-kanak, remaja , dan dewasa. Memiliki minda yang sihat membantu individu untuk melalui setiap peringkat kehidupan dengan lebih baik dan teratur. Terdapat beberapa langkah yang dapat mengekalkan dan membangunkan minda yang sihat. Individu perlu kekal aktif untuk melakukan aktiviti fizikal agar membantu diri untuk mendapatkan kualiti tidur dan rehat yang baik. Tidur yang berkualiti mampu memberi kesegaran kepada badan dan minda. Seterusnya mewujudkan persekitaran yang positif seperti sentiasa berhubung dengan ahli keluarga dan rakan-rakan dapat mengurangkan tekanan perasaan , mengalami kemurungan , dan kebimbangan di dalam diri. Kesannya, individu mampu mengatasi konflik dengan bijak dan membuat keputusan. Proses mengekalkan minda yang sihat boleh dilakukan dengan menanam sesuatu minat di dalam diri seperti belajar bermain alat muzik , membaca artikel atau majalah yang diminati , serta aktif dalam melakukan aktiviti yang baru diterokai.

Secara pandangan kasar , mengalami kemurungan dan masalah jiwa dikaitkan dengan penyakit rohani. Di dalam hadith , nabi Muhammad s.a.w telah menjelaskan terdapat lapan penyakit rohani yang berpusatkan kepada hati iaitu ragu-ragu , dukacita , lemah , malas , pengecut , bakhil , orang yang dikelilingi hutang , dan orang yang menjadi orang suruhan. Antara langkah-langkah untuk membentuk kerohanian peribadi yang baik adalah menerusi at-takhalli iaitu mempelajari ilmu agama untuk membezakan perkara yang baik dan sebaliknya. Langkah kedua ialah at-tahalli yang memberi maksud mengikis sikap yang negatif kepada positif seperti pemarah berubah kepada pemaaf , sikap malas kepada rajin dan lain-lain lagi. Langkah yang terakhir adalah at-tajalli yang membawa individu kepada tahap sifat tertinggi, iaitu soleh. Soleh bermaksud individu yang melakukan sesuatu perkara yang bersandarkan tuntutan agama serta melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan yang di gariskan agama. Untuk menyuburkan rohani yang baik , individu perlu mendalami ilmu agama agar dapat mengenali Maha Pencipta untuk meningkatkan jati diri dan mengukuhkan keimanan di dalam jiwa. Ilmu agama yang diadaptasikan didalam kehidupan seseorang berupaya mengawal perasaan di dalam diri dan menghindari daripada kegiatan yang tidak bermoral . Setiap individu wajib mengenali diri dan Tuhan kerana ia mampu mendidik kita untuk bermuhasabah diri , istiqhamah , dan menjadikan agama sebagai panduan jalan kehidupan.

Sebagai kesimpulannya, faktor pemakanan , pergaulan , dan kepercayaan agama berperanan dalam mengekalkan kesihatan tubuh badan , minda , dan kerohanian. Gabungan faktor-faktor ini mendidik individu mendisiplinkan diri ke arah menerapkan nilai-nilai agama kepada individu yang sejati serta mewujudkan kehidupan yang sihat dan bahagia.


  
5.0) RINGKASAN TENTANG ANOREXIA NERVOSA DAN BULIMIA NERVOSA

Beberapa pandangan umum mengatakan gangguan makanan adalah pilihan gaya hidup. Gangguan makanan menunjukkan hubungan yang tidak sihat dengan pemakanan. Gangguan makanan dikategorikan sebagai salah satu masalah perubatan serius yang boleh memberikan kesan-kesan jangka masa panjang sekiranya tidak dirawat dengan kadar segera. Antara isyarat-isyarat gangguan makanan ialah bersikap obses terhadap makanan, berat badan dan bentuk tubuh badan. Terdapat dua jenis gangguan makanan iaitu anorexia dan bulimia nervosa.

Anorexia nervosa atau dikenali hanya anorexia adalah satu bentuk gangguan pemakanan yang melibatkan tahap kerisauan yang tinggi terhadap kenaikan berat badan. Individu yang mempunyai anorexia senantiasa obses terhadap kenaikan berat badan sehingga sanggup mengunakan pelbagai cara untuk mencapai matlamat mereka. Perbezaan antara anorexia dan bulimia ialah anorexia mempunyai berat badan yang sangat rendah atau abnormal manakala bulimia memiliki berat badan yang normal. Sifat ketakutan yang melampau terhadap kenaikan berat badan menyebabkan mereka melakukan aktiviti fizikal dan amalan diet yang berlebihan. Penghidap anorexia sentiasa menghadkan kuantiti makanan yang mereka makan. Antara gejala-gejala penghidap anorexia ialah mengalami penurunan berat badan secara mendadak , masalah kitaran haid , keletihan , cirit-birit, gangguan tidur , kadar tekanan darah yang rendah , dan lain-lain lagi. Penyebab utama untuk pesakit yang mengalami anorexia tidak dapat dikenal pasti secara saintifik tapi ia mungkin berkait rapat dengan faktor-faktor biologi , psikologi , dan persekitaran. Faktor-faktor ini mendorong pesakit mementingkan kesempurnaan , ingin kelihatan cantik , dan elemen-elemen dari media luar mempengaruhi golongan remaja atau dewasa khususnya kaum hawa tentang kecantikan berpaksikan kepada bentuk badan yang kurus.


Bulimia adalah kecenderungan mengambil makanan dengan kuantiti yang banyak dalam satu masa diikuti dengan membuangkan semula makanan yang dimakan dengan cara memaksa memuntahkan semula makanan atau dengan pengambilan ubat untuk membuang makanan yang di makan. Individu yang mengalami bulimia amat mementingkan bentuk tubuh badan dan berat badan kerana ia melibatkan personaliti atau imej diri. Penghidap bulimia turut menghadapi masalah psikologi kerana sentiasa beranggapan penampilan yang gemuk. Pesakit bulimia menunjukkan ciri-ciri seperti tahap kerisauan yang melampau terhadap kenaikan berat badan , mengambil kuantiti makan yang banyak sehingga menimbulkan rasa tidak selesa , memaksa diri untuk memuntahkan semula makanan yang diambil , dan menggunakan produk herba atau produk makanan kesihatan bertujuan untuk menurunkan berat badan yang mendadak. Antara faktor-faktor yang menggalakkan gangguan makanan ini ialah disebabkan faktor jantina , umur , biologi , fizikal dan emosi, media semasa , serta tekanan terhadap kerjaya sukan yang diceburi. Secara kasarnya, jantina perempuan dan peringkat umur yang matang lebih terarah kepada bulimia. Peringkat umur memberi kesan emosi yang tidak stabil kerana disebabkan genetik. Manakala media massa menampilkan ikon-ikon yang memiliki tubuh badan yang unggul sekaligus mendorong kaum wanita memiliki bentuk tubuh badan yang di idamkan. Selain itu , kerjaya individu seperti ahli sukan , penari , dan pelakon turut menggalakan individu mengalami bulimia kerana perlu mengekalkan tubuh badan serta mengekalkan berat badan yang rendah untuk memenuhi kehendak kerjaya yang diceburi.


Kesimpulannya , pendekatan untuk kelihatan menawan dengan menggunakan masa yang singkat memberi kesan kepada emosi dan kesihatan badan manusia. Terdapat pelbagai jenis aktiviti sukan yang boleh diamalkan untuk mengekalkan penampilan diri seperti melakukan aktiviti berenang , menunggang basikal , bersenam dan pengambilan  makanan yang diperlukan badan. Oleh itu , hargailah kesihatan diri agar dapat menikmati kehidupan yang lebih bermaksa kerana ia adalah anugerah yang amat bernilai kepada umat manusia.

2 comments:

  1. yang nier reflektif jurnal ker

    ReplyDelete
  2. sebab saya pon dapat assgmnt yang sama..so nak mntak pandangan...mcm mna nak buat reflektoif jurna berdasarkan 2 soalan.

    ReplyDelete